Monday, 30 May 2016
gigi oh gigi
Salah satu aktiviti wajib yang dianjurkan di tadika ialah pemeriksaan gigi. Jururawat dari hospital kerajaan yang berdekatan akan dijemput hadir untuk mengadakan sesi taklimat dan demonstrasi bagaimana untuk menjaga dan membersihkan gigi dengan betul kepada anak-anak. Ia sebuah program yang menarik dan sangat informatif kepada mereka.
Kanak-kanak dapat mengenali dan bermain dengan berus gigi dan air. Tentu ia menyeronokkan. Apabila pulang sahaja ke rumah, mereka dengan bangganya akan mengajar ibu bapa pula bagaimana memberus gigi dengan betul.
Proses pertumbuhan gigi bukanlah satu proses yang mudah. Si anak kecil terpaksa menahan sakit yang teramat sangat ketika gigi-gigi pertama mereka keluar daripada gusi. Sakit dan mengilukan!
Mereka tidak mampu berkata-kata, namun tangisan menceritakan segalanya. Kadang kala, daya ketahanan tubuh si kecil itu tidak mampu menanggung, mereka akan jatuh demam berhari-hari.
Hanya kerana sebatang gigi!
Demi sebatang gigi itu jugalah, ibu tidak tidur malam membasahkan kain, mengelap badan yang makin tinggi suhunya di malam hari. Kerana sebatang gigi itu jugalah, tidak lekang doa di bibir si ibu mendoakan kesembuhan anak kecil yang disayangi. Itulah nilai dan pengorbanan di sebalik sebatang gigi! Ia tumbuh dengan kasih sayang, doa ibu bapa yang tercinta.
Subscribe to:
Posts (Atom)